Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,
Salam Ramadhan saya hulurkan kepada Pengurusan Tertinggi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia khasnya dan warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri-negeri amnya, semoga Allah mempermudahkan serta menyempurnakan Ramadhan tahun ini tanpa sebarang halangan. Sesungguhnya, Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa kerana ia adalah satu-satunya bulan yang disebutkan namanya secara khusus di dalam al-Quran. Menambahkan lagi kemuliaannya, Allah SWT telah mengikat bulan ini dengan Rukun Islam yang ketiga, yakni ibadah puasa. Ramadhan benar-benar salah satu daripada syiar-syiar agung agama Islam. Sambutan dan penghormatan kita kepada Ramadhan adalah tanda ketakwaan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 32 yang bermaksud :-“ Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.”
Alhamdulillah, setelah hapir sebulan kita melaksanakan jihad besar menentang hawa nafsu maka tibalah masanya untuk menyambut detik kemenangan, Hari Raya Aidilfitri yang mulia. Sesungguhnya warga Jabatan Bomba mempunyai banyak sebab untuk bersyukur. Tentunya sebab paling utama adalah kemampuan kita menyambut hari lebaran ini dalam keadaan aman damai serta dilimpahi kemakmuran.
Maka, sebagai warga jabatan yang bersyukur, kita perlu berterima kasih kepada kepemimpinan tertinggi jabatan yang telah meletakkan asas kukuh kepada kejayaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada hari ini. Terima kasih juga ditujukan kepada anggota yang bertugas di hari lebaran nanti di atas segala usaha dan pengorbanan semua menjadi asas serta landasan kepada apa yang kita nikmati bersama.
Teruskanlah tradisi rumah terbuka yang selama ini menjadi amalan dan amalkan konsep balai terbuka di hari lebaran nanti. Runtuhkanlah tembok prasangka dan rongkaikan prejudis dengan membuka seluas-luasnya pintu rumah kita serta pintu hati kita untuk rakan-rakan kita dari pelbagai kaum dan agama di hari yang mulia. Jelas sekali, ini adalah tradisi Malaysia yang bitara atau amat unik dan tidak berlaku di mana-mana negara di dunia dimana rakan-rakan dari pelbagai kaum serta agama boleh mengunjungi kita tanpa sebarang halangan mahupun kebimbangan.
Sehubungan dengan itu, pada kesempatan ini, saya ingin menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, isteri dan keluarga di atas apa-apa yang tersilap. Dengan ini saya mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Hari Raya Aidilfitri.
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu
Akbar Walillah hil Hamd
Wabillahi Taufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih.
( AZMI BIN OSMAN )
Pengarah,
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Negeri Kelantan.



















